Selasa, 31 Mac 2015

TERMA KONTRAK UNTUK KERJA UBAHSUAI

TERMA KONTRAK UNTUK KERJA UBAHSUAI

Di dalam memastikan kerja-kerja ubasuai dilaksanakan dengan amalan dan praktis yang terbaik,
CIDB telah membangunkan dukumen Terma Kontrak untuk semua kerja ubah suai. Dokumen ini akan digunakan untuk semua kerja-kerja ubahsuai yang diperolehi oleh kontraktor kerja ubahsuai dan dikuatkuasakan penggunaannya oleh Pihak Berkuasa Tempatan


AKTA BAYARAN DAN ADJUDIKASI INDUSTRI PEMBINAAN (CIPAA)

1. Latar belakang CIPAA

Masalah pembayaran telah dikenal pasti sebagai rintangan besar kepada pencapaian
matlamat Dasar Pembinaan Negara khususnya Pelan Induk Industri Pembinaan 2006-2015.
Masalah pembayaran ini meliputi ketidakbayaran, kelewatan pembayaran dan ketidakcukupan
pembayaran seringkali dikaitkan dengan isu aliran tunai yang lemah dan kelewatan
pelaksanaan projek. Ia seterusnya menjadi faktor penyumbang kepada kemerosotan kualiti
kerja, peningkatan kos dan dalam kes-kes kritikal, kontrak akan ditamatkan. Senario ini pastinya
memberi imej negatif kepada industri pembinaan.
Pada masa ini, mekanisme yang digunapakai bagi menyelesaikan pertikaian pembayaran
adalah melalui tindakan mahkamah dan prosiding timbang tara. Walau bagaimanapun, proses
perbicaraan kes di mahkamah mengambil masa yang lama manakala prosiding timbang tara
hanya akan dimulakan selepas kerja pembinaan siap atau kontrak ditamatkan.
Tempoh masa yang lama dan kos prosiding yang tinggi adalah antara faktor utama yang
mengekang pihak-pihak terlibat untuk merujuk pertikaian kepada mahkamah dan timbang tara.

2. Tujuan CIPAA

1 Memudahkan pembayaran yang tetap dan tepat pada masanya.

2 Mengadakan peruntukan bagi suatu mekanisme untuk penyelesaian pertikaian yang
cepat melaluiadjudikasi.

3 Mengadakan peruntukan bagi remedi untuk mendapatkan bayaran dalam industri
pembinaan.


Skop Pemakaian CIPAA
Skop pemakaian CIPAA adalah meliputi semua jenis kontrak bertulis yang berkaiatan dengan
kerja-kerja pembinaan yang dijalankan sepenuhnya atau sebahagiannya di dalam wilayah
Malaysia termasuk kontrak pembinaan yang dibuat oleh Kerajaan.
Akta ini tidak terpakai bagi kontrak pembinaan yang dibuat oleh seorang orang sebenar bagi
apa-apa kerja pembinaan berkenaan dengan mana-mana bangunan yang tingginya kurang dari empat tingkat dan yang keseluruhannya diniatkan untuk didudukinya

Kategori-kategori Kontrak Pembinaan:

Kontrak Kerja Pembinaan :
Ertinya pembinaan, penyambungan,
pemasangan, pembaikan, penyenggaraan,
pembaharuan, pemindahan, pengubahsuaian,
pengubahan, perombakan atau perobohan:

a. mana-mana bangunan, binaan, bangunan besar,
struktur, dinding, pagar atau cerobong, sama ada dibina
keseluruhannya atau sebahagiannya di atas atau di
bawah paras bumi;

b. mana-mana jalan, kerja pelabuhan, landasan kereta api,
talian kabel, terusan atau padang terbang;

c. apa-apa kerja saliran, pengairan atau kawalan sungai;
d. apa-apa kerja elektrik, mekanikal, air, gas, minyak,
petrokimia atau telekomunikasi atau;

e. mana-mana jambatan, jejambat, empangan, takungan,
kerja tanah, talian paip, salur najis, akueduk, pembentung,
pemacu, syaf, terowong atau kerja-kerja penebusgunaan
dan termasuklah

f. apa-apa kerja menjadi bahagian penting atau adalah
persediaan atau sementara termasuklah pembersihan
tapak, penyelidikan dan pembaikan tanah, pemindahan
tanah, penggalian, perletakan batu asas, pemulihan
tapak dan landskap; dan

g. pemerolehan bahan binaan, kelengkapan atau pekerja


Kontrak Perunding Pembinaan

1. Kajian perancangan dan kebolehlaksanaan

2. Kerja kesenibinaan

3. Kerja kejuruteraan

4. Kerja pengukuran bahan

5. Kerja hiasan luar dan dalaman

6. Kerja landskap


7. Perkhidmatan pengurusan projek



Peruntukkan Remedi dibawah CIPAA

1. Memberi hak penggantungan atau pengurangan kadar kemajuan pelaksanaan kepada
pihak menuntut jika amaun adjudikasi tidak dibayar selepas keputusan adjudikasi
diberikan.

2. Memberi hak mendapatkan pembayaran langsung daripada prinsipal.

Proses Adjudikasi

Adjudikator perlu mengemukakan keputusan adjudikasi secara bertulis dalam tempoh 45 hari
bekerja melainkan tempoh penangguhan dipersetujui pihak-pihak bertikai. Proses keseluruhan
memakan masa selama sembilan puluh lima (95) hari sehingga seratus (100) hari maksima
dari tarikh penerimaan tuntutan bayaran sehingga keputusan adjudikasi dikemukakan



KOD ETIKA KONTRAKTOR

PengenalanTujuan

Tujuan Kod Etika ialah untuk memaklumkan kepada semua kontraktor pembinaan yang
berdaftar dengan CIDB mengenai pengwujudan Kod Etika Kontraktor dan keperluan untuk
menghayati dan mengamalkannya. Kod Etika Kontraktor merupakan satu set etika serta
perilaku murni yang diterima sebagai amalan piawaian di kalangan kontraktor yang mampu
mendorong dan meningkatkan tahap profesionalisma, integriti dan akauntabiliti yang tinggi.
Pematuhan terhadap Kod Etika Kontraktor ini merupakan satu kaedah pengawalseliaan sendiri
(self-regulatory) di kalangan kontraktor di dalam usaha untuk meningkatkan kredibiliti dan tahap
keyakinan masyarakat umum terhadap perkhidmatan yang disediakan. Kod Etika Kontraktor
ini menyenaraikan etika dan perilaku murni berasaskan kepada 6 prinsip utama seperti berikut:

Prinsip 1 : Jujur Melaksanakan Tanggungjawab

Prinsip 2 : Pematuhan Peraturan Dan Undang-undang

Prinsip 3 : Penghormatan Kepada Individu Dan Masyarakat

Prinsip 4 : Kepentingan Kualiti, Kemahiran Dan Piawaian

Prinsip 5 : Kepentingan Keselamatan Dan Kesihatan

Prinsip 6 : Kepentingan Pemeliharaan Alam Sekitar


Semua kontraktor pembinaan di Malaysia mengikut definisi di dalam Akta 520 (Akta Lembaga
Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia, 1994) adalah dikehendaki menghayati dan
mengamalkan Kod Etika ini demi menjaga maruah, integriti dan nama baik mereka secara
peribadi, nama baik profesyen secara khusus serta nama baik industri pembinaan secara
umum.



AMALAN TERBAIK SEKTOR PEMBINAAN

Sistem Penilaian Keselamatan dan Kesihatan Industri Pembinaan “SHASSIC”
Sistem Penilaian Keselamatan dan Kesihatan Industri Pembinaan “SHASSIC” merupakan satu
pendekatan atau kaedah yang digunakan untuk menilai tahap keselamatan dan kesihatan di
tempat kerja / tapak binaan.

Sistem penilaian ini memberikan banyak faedah kepada pihak yang terlibat di dalam industri
pembinaan seperti Kontraktor, Pemaju, Jabatan Kerajaan yang berkaitan, Pihak Berkuasa
Tempatan dan juga Pelanggan. “SHASSIC”dibangunkan oleh Lembaga Pembangunan Industri
Pembinaan Malaysia (CIDB) dengan kerjasama Jawatankuasa Teknikal yang mewakili semua
organisasi yang berkepentingan dalam industrI pembinaan dan juga merupakan salah satu
Standard Industri Pembinaan (CIS 10:2008) yang digunakan oleh industri pembinaan.


Sistem Penilaian Kualiti Dalam Pembinaan (QLASSIC)

Sistem Penilaian Kualiti Dalam Pembinaan (QLASSIC) merupakan satu sistem atau kaedah
untuk mengukur dan menilai kualiti hasil kerja (quality of workmanship) suatu kerja pembinaan,
berdasarkan kepada keperluan standard yang berkenaan. Dengan QLASSIC, kualiti hasil
kerja antara projek pembinaan dapat dibuat perbandingan secara objektif melalui sistem
pemarkahan.

Objektif QLASSIC
a. Menanda aras kualiti hasil kerja dalam Industri Pembinaan.

b. Mengadakan satu sistem yang standard untuk menilai kualiti hasil kerja kerja-kerja pembinaan.

c. Menilai kualiti hasil kerja suatu kerja pembinaan berdasarkan kepada standard
yang berkenaan.

d. Digunakan sebagai suatu kriteria untuk menilai prestasi kontraktor berdasarkan
kepada kualiti hasil kerja.

e. Mengumpul data untuk analisa statistik.


Skop QLASSIC
QLASSIC menetapkan standard kualiti hasil kerja (quality of workmanship) untuk
berbagai elemen bagi kerja pembinaan bangunan dan kerja pembinaan infrastruktur.
Elemen pembinaan dibuat penilaian berdasarkan kepada keperluan kualiti hasil kerja
yang ditetapkan dalam standard. Markah diberikan jika elemen pembinaan tersebut
mematuhi keperluan standard tersebut. Markah yang terkumpul akan digunakan untuk
pengiraan Skor QLASSIC (%) bagi suatu projek pembinaan.

Penilaian QLASSIC dibuat melalui pemeriksaan tapak dan mengikut prinsip
pemeriksaan kali pertama (first time inspection). Sebarang kerja pembinaan yang
diperbetulkan selepas suatu penilaian dijalankan tidak akan dinilai semula. Objektif
prinsip ini adalah untuk menggalakkan kontraktor untuk ”Buat Kerja Dengan Betul
Pada Kali Pertama Dan Buat Kerja Dengan Betul Setiap Kali”


Sistem Penilaian Amalan Terbaik Teknologi Hijau (Green PASS-Performance
Assessment System

Green PASS membantu industri membuat penilaian terhadap kesan bangunan
terhadap alam sekitar. Penilaian yang dibuat berdasarkan standard ini dapat menilai
dan mengira impak sebenar kuantiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) oleh bangunan
terhadap alam sekitar. Standard ini masih dalam peringkat penilaian industri untuk
penambahbaikkan bagi memastikan semua aspek dan kepentingan penilaian
pembinaan diambil kira.

Skim ini dibangunkan dengan tujuan membantu kontraktor menjalankan pengurusan
alam sekitar yang tersusun dan berkesan sebagai tanda sokongan terhadap
pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Ia juga bertujuan menyediakan maklumat
berkenaan kontraktor yang telah menunjukkan serta memberikan komitmen yang
tinggi dan baik dalam pengurusan alam persekitaran kepada pihak yang berkenaan
seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), pemaju perumahan dan pihak berkuasa tempatan



TEKNOLOGI TERKINI

Pengenalan

Teknologi Maklumat dan Komunikasi atau ICT (Information and Communication
Technology) merupakan teknologi yang diperlukan untuk pemprosesan data. Ruang
lingkup tajuknya sangat luas. Ia boleh berkenaan dengan segala aspek dalam pengurusan
dan pemprosesan maklumat. Secara tepat dan mudahnya adalah penggunaan
komputer dan perisian untuk mengubah, menyimpan, melindungi, memproses,

memindah, melihat, dan mendapatkan maklumat tanpa mengira tempat dan waktu.

Penekanan ke atas penggunaan aplikasi dan teknologi ICT akan menyediakan peluang
perniagaan yang luas dalam sektor pembinaan. Di antara sumber pertumbuhan baru dalam
segmen utama sektor ICT ialah pembangunan jaringan internet, blog, kandungan digital,
e-dagang, penggunaan telefon bimbit, email dan seumpamanya. Usaha ini berupaya
memajukan dan meningkatkan peluang perniagaan kontraktor sedia ada dan baru bidang
tertentu.

Antara teknologi yang biasa digunakan adalah seperti berikut:

a. Persuratan elektronik (E-mail)
b. Sistem Pesanan Multimedia (Multimedia Massage System-MMS)
c. Sistem Pesanan Ringkas (Short Massage System- SMS)
d. Laman Sesawang (website)
e. Internet


Fungsi-Fungsi Teknologi Maklumat Dan Komunikasi

1. Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) lebih cekap, berkesan, mudah dan cepat
membuat keputusan yang baik yang melibatkan maklumat, proses dan kerja di dalam
membantu organisasi membuat keputusan, merancang, mengawal dan menganalis.

2.  Kontraktor boleh memperolehi maklumat daripada pelbagai sumber melalui ICT
untuk tujuan perniagaan dan tahu menggunakan teknologi komunikasi seperti CD
Rom, cakera padat, video, komputer, komputer bimbit, dan perisian-perisian aplikasi
komputer seperti e-mail, pengkalan data, pemprosesan perkataan, hamparan eletronik,
internet, perisian persembahan dan lain-lainnya.

3. Urusniaga jarak jauh dibolehkan dengan wujudnya rangkaian ICT yang lengkap.
Trend semasa semakin menampakkan masa depan urusan pembinaan dengan cara
jarak jauh tetapi ini tidak bermakna urusan pembinaan konvensional perlu dihapuskan
sama sekali. Sesetengah daripadanya perlu dikekalkan bagi membolehkan praktis
pembinaan projek tertentu yang tidak boleh diperolehi melalui teknologi maklumat.

4. Perdagangan elektronik ditakrifkan sebagai penggunaan telekomunikasi atau rangkaian
yang luas untuk melaksanakan pemindahan kewangan. Dengan berkembangnya
perkhidmatan sedemikian pada masa depan, kontraktor tidak perlu melangkah keluar
dari rumah untuk berurusniaga.

5. Dengan adanya rangkaian teknologi maklumat juga membolehkan aktiviti perbankan
dan pasaran dijalankan. Dengan adanya rangkaian maklumat yang membolehkan
aktiviti tersebut dijalankan dengan selamat maka kontraktor memilih rangkaian tersebut
berbanding dengan cara konvensional yang tidak berkesan serta membazirkan masa
dan tenaga.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan